Saturday

Alhamdulillah..hujan akhirnya



Tengah hari itu tidak seperti kebiasaanya, kalau semalam teriknya membakar kulit, membakar apa sahaja yang terdedah, juga membakar semangat para petani untuk terus meyirami tanaman. Malah ianya juga membakar tanah-tanah gambut yang menyebabkan kawasan ini penuh dengan pencemaran jerebu. Tetapi hari ini lain, cahaya surianya pada pagi hari seolah-olah memberi sesuatu makna buat para petani dan peternak. Teriknya bukan seperti semalam. Cahayanya muncul redup hingga ke tengahhari. Cahayanya lahir tenang mengintai disebalik dedaun getah, sekaligus mendamaikan suasana kampung. Aman sekali. Burung-burung menyanyi riang seolah-olah berzikir pada Penciptanya. Angin berdesir lembut menerpa ke muka ku mengingatkan ada Pencipta yang Maha Agung. Awan berlari-lari anak menunjukkan cuaca sangat baik pada hari ini. Sekaligus awan pun berzikir. Angin berzikir. Haiwan-haiwan berzikir. Tumbuhan berzikir mengagungkan Tuhannya.

Rupanya, dengan kedamaian pagi itu, dengan zikir-zikir makhlukNya, Allah turunkan Rahmat. Allah turunkan hujan membasahi bumi ini. Rahmat untuk makhluk yang mengingatiNya tidak kira masa. Hujan pun berzikir menurunkan airnya ke bumi. Aku yang berada di kandang turut berzikir dan memujiNya, kerana setelah sekian masanya, hujan tidak turun. Mengeringkan tanah, mengeringkan tanaman, mengeringkan air perigi di ladang ku. Bukan kepalang makhluk-makhlukNya keriangan menyambut rahmatNya itu. Pokok napier yang baru ku tanam seolah-olah menari keriangan mendapatkan air. Melambai-lambai ditiup angin. Begitu juga dengan ternakanku. Alangkah meriahnya ladangku apabila rahmatNya disambut oleh ternakanku. Anak-anak kambing melompat ke sana ke mari. Hujan nya turun tidak lama. Hanya satu jam cuma. Tetapi cukup untuk membasahi tanah dan mnyuburkan tanaman.

Rahmat ini juga menyedarkan makhlukNya supaya terus mengingatiNya. Samada manusia, haiwan mahupun tumbuhan mempunyai tanggungjawab sebagai hamba. Malahan pula, manusia yang dilantik menjadi Khalifah mempunyai tugas yang lebih berat. Iaitu, tegakkan Islam Amar Ma'ruf Nahi Mungkar. Adakah kita Khalifah yang dilantik Allah sudah selesai tanggungjawab ini?Mahukah kita ditanya kelak mengenai tanggungjawab ini?Apakah persediaan kita untuk memikul tanggungjawab ini?


"MEMPERKUKUH EKONOMI ISLAM, MENYUSUR SUNNAH RASULULLAH"
'"You don't have to be great to start, but you have to start to be great"

0 comments:

Newer Post Older Post Home